Thursday, February 20, 2020

PERANAN DAN KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

                                           Image result for PERPADUAN KAUM CARTOON
1. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan Kaum
 Kepelbagaian fungsi bahasa Melayu ini turut mempunyai kepentingannya yang tersendiri di mana  bahasa Melayu amat penting dalam menyatupadukan kaum – kaum di Malaysia. Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa rasmi negara, menunjukkan bahawa terdapat semangat 1Malaysia yang ditonjolkan. Hal ini kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan majoriti penduduk di negara ini adalah bangsa Melayu, iaitu melebihi lima puluh peratus daripada kaum – kaum yang lain dan bahasa Melayu telah digunakan sejak dari awal lagi iaitu sebelum kedatangan kaum Cina dan India di Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu didatangi kaum Cina dan India, bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Kaum Cina dan India ini bersedia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum.

Kenyataan ini dapat dilihat dalam konteks sekolah wawasan di mana di bawah satu bumbung yang sama guru – guru  dan murid – murid dapat mewujudkan dan memelihara perpaduan kaum dengan menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu boleh dijadikan alat untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dengan menggunakan satu bahasa yang sama seterusnya diharapkan ia dapat membangunkan negara. Pelbagai kaum menggunakan satu bahasa yang mudah untuk difahami oleh semua orang, kita dapat menyampaikan maksud sesuatu perkara kepada orang lain dengan berkesan. Bahasa Melayu dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan  antara penduduk  berbilang kaum. Perpaduan di negara ini amat penting bagi mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara.

Image result for communication cartoon

2. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Komunikasi
 Komunikasi bermaksud perhubungan di antara orang dengan orang atau antara organisasi dengan organisasi, dengan menggunakan bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan dalam erti kata yang tradisional. Bahasa ialah alat komunikasi yang menjadi media bagi seseorang untuk berhubung antara satu sama lain, melahirkan perasaan, fikiran, kehendak dan sebagainya. Malahan bahasa juga merupakan satu media untuk menguasai sesuatu bidang pengetahuan supaya memperoleh kecekapan dan kemahiran belajar dan mengajar iaitu menerima dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Seseorang boleh meluaskan pemikiran dan pengetahuan serta membolehkannya menjadi sebahagian daripada ahli masyarakatnya.
Komunikasi banyak hala ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan untuk menyatakan cadangan dan pandangan serta perkongsian idea, permasalahan dalam pendidikan mahupun interaksi harmoni dengan masyarakat setempat.

Image result for LEARNING SEASON CARTOON
      3. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam apa jua mata pelajaran, kita tidak dapat melepaskan diri daripada menggunakan bahasa. Oleh sebab itulah dikatakan, “bahasa merentasi kurikulum” kerana bahasa merangkumi seluruh bidang pelajaran dalam sistem pendidikan, baik pendidikan secara formal mahupun tidak formal. 

  Image result for kuala lumpur cartoon

4.  Sebagai Mekanisma Kemajuan
Bahasa yang saling difahami oleh semua kaum dan juga oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah negara menjadi mekanisma penting dalam menjamin kemajuan yang seimbang dan menyeluruh. Justeru, negara dapat dibangunkan dengan menggembleng keseluruhan sumber daya tenaga manusia yang ada pada rakyatnya tanpa mengira bangsa dan lapisan sosial. Penggemblengan yang menyeluruh ini membolehkan keuntungan negara dikongsi secara bersama oleh seluruh rakyat di dalamnya tanpa perlu mengharapkan kemahiran luar yang mana menyebabkan aliran wang keluar yang banyak. Alangkah baik aliran keluar wang ini dinikmati oleh rakyatnya sendiri yang mana tenaga mereka dapat digembleng untuk menjana ekonomi negara sendiri.

Usaha penggemblengan tenaga ini haruslah diasaskan dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua sektor pekerjaan. Apabila bahasa kebangsaan dimartabatkan di semua sektor pekerjaan bukan sahaja sektor kerajaan malahan turut digalakkan ke dalam sektor-sektor swasta maka semua rakyat dapat diberikan peluang yang sama rata untuk terlibat dalam sektor terbabit. Apabila peluang yang sama rata ini diberikan maka jurang ekonomi antara etnik dan wilayah dapat dikurangkan.

No comments:

Post a Comment

                                            DUA 6022: KOMUNIKASI DAN PENYIARAN DALAM ISLAM TAJUK : MEMBUDAYAKAN BAHASA MALAYSIA...