1. DASAR DAN POLISI NEGARA
Kerajaan berperanan
penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui pengukuhan dasar mengenainya.
Dasar dan polisi harus dilaksanakan dengan lebih tegas dalam memastikan bahasa
kebangsaan dapat dimartabatkan oleh seluruh rakyat Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai kaum dan bahasa serta lapisan masyarakat. Dasar bahasa
kebangsaan dalam bidang pendidikan perlu jelas dan kukuh agar sebarang
perubahan yang ingin dilaksanakan dapat dirujuk kembali kepada dasar yang telah
termaktub. Namun didapati, fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan adalah amat
terbuka dan hal ini menyebabkan status dan kedudukan bahasa di negara ini
ditafsir secara berbeza (Haris, 1990:102-103). Ini kerana terdapat beberapa
pihak yang cuba memperjuangkan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan dalam
sistem pendidikan dengan hanya mengambil kira
pengecualian di fasal 152(1)(a) dan 152(1)(b) yang tidak melarang
sesiapa untuk menggunakan atau mengajar bahasa lain dan hak kerajaan
Persekutuan dan hak Kerajaan Negeri bagi meneruskan penggunaan dan pengajian
bahasa lain.
2. GLOBALISASI
Globalisasi
didefinisikan sebagai keberhubungan aktiviti-aktiviti manusia secara global
dalam aspek pengaliran modal dan buruh, teknoologi dan kemahiran, pemikiran dan
nilai, gaya hidup dan cita rasa, yang merentasi sempadan negara dan bangsa
(Hashim Musa, 2005: 209). Globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan
menyebabkan manusia dari seluruh dunia saling berinteraksi sama ada secara
nyata atau maya. Oleh itu, bagi memudahkan proses pengadaptasian kepada era
globalisasi ini, pemerkasaan bahasa Inggeris dianggap penting. Namun, keperluan
kepada pemerkasaan bahasa Inggeris ini dilihat dapat meminggirkan bahasa
Kebangsaan yang mana bermula pada tahun 1990-an, dasar bahasa dalam sistem
pendidikan negara telah mengalami perubahan mendadak akibat daripada tekanan
globalisasi .
3. SIKAP MASYARAKAT
Sekiranya sebelum ini,
faktor-faktor luaran diketengahkan sebagai cabaran dalam memartabatkan bahasa
kebangsaan, namun sebenarnya apa yang lebih penting adalah sikap warganegara
Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini tidak kiralah daripada sikap
golongan elit dan bukan elit, dari pembuat dasar sehinggalah kepada rakyat
jelata. Bahasa kebangsaan dilihat sebagai bahasa yang tiada nilai komersil dan
penggunaan bahasa Inggeris lebih dilihat untuk membezakan taraf seseorang individu
dengan individu lain ini.
Malahan kaum Melayu
sendiri kini dilihat lebih mengagungkan bahasa asing berbanding bahasa ibunda
mereka ini sendiri. Sesungguhnya, jika bukan kerana orang Melayu, terutamanya
elit politik Melayu yang menyokong perubahan dasar bahasa di negara ini, memang
sukar dasar satu bahasa untuk diubah dengan senang (Tan Yao Sua, 2010: 133).
Hal ini akan menyebabkan berlakunya “kebocoran bendung budaya” dalam kalangan
orang Melayu dan seterusnya mengalami krisis keyakinan diri dan hilangnya
kreativiti untuk mencipta produk intelektual.
No comments:
Post a Comment