1. Bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu/akademik
Faktor globalisasi dan
kepelbagaian seringkali memaksa kita memilih satu – satu bahasa sebagai bahasa
antarabangsa sekaligus diangkat sebagai bahasa ilmu. Jika diteliti dan diperhalusi,
faktor globalisasi dan kepelbagaian juga sebenarnya memberi ruang kepada bahasa
Melayu menjadi bahasa ilmu yang penting dalam konteks di Malaysia. Dengan kata
lain, bahasa Melayu sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras – laras
bahasa untuk memperkata pelbagai hal baru dalam aneka bidang ilmu moden
sebagaimana maksudnya sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu merupakan bahasa
pengantar ilmu pengetahuan iaitu alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden iaitu
ilmu sains, teknologi, ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran dan undang – undang.
Sebagai bahasa ilmu,
bahasa Melayu mempunyai ciri keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa.
Keintelektualan ini boleh dicapai melalui perbendaharaan kata dan sistem
tatabahasa. Maka perancangan dan pelaksanaan bahasa baku telah dijalankan yang
bertujuan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bertaraf tinggi dan ada
keselarasan dalam penggunaannya.
Bahasa Melayu yang juga
menjadi bahasa pengantar ilmu di pusat pengajian tinggi di mana ia telah
dipraktikkan di Universiti Kebangsaan Malaysia dari awal penubuhan sehingga
kini. Universiti tersebut telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima
pendidikan dalam bahasa Melayu, mengeluarkan ratusan tesis pada peringkat
ijazah sarjana dan kedoktoran juga dalam bahasa Melayu. Malahan para
profesor turut menyampaikan kuliah dalam bahasa Melayu.
2. Bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi
Bahasa rasmi merupakan
bahasa yang diberikan status sedemikian secara sah oleh sesebuah negara, negeri
atau wilayah. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi
seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan, urusan
perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan antarabangsa. Bagi
sesetengah negara, bahasa rasmi digunakan oleh kerajaan dan pemerintah dalam
dokumen rasmi kerajaan berbanding penggunaan bahasa kebangsaan.
Dalam konteks Malaysia,
khasnya sistem pendidikan, bahasa rasmi bererti pelaksanaan bahasa Melayu
sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran
dan dokumentasi sistem pendidikan. Ianya tergolong dalam bahasa inklusif di
mana bahasa yang ditempatkan atas bahasa atau bahasa – bahasa sedia ada. Bahasa
rasmi juga dianggap sebagai lambang serta simbol identiti sebuah negara
merdeka. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan
seharian, dan fungsinya pula dapat memenuhi beberapa kegiatan di setiap
peringkat dan jabatan dalam sektor pendidikan.
3. Bahasa
Melayu sebagai bahasa peperiksaan
Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar diperkuatkan lagi dalam sistem peperiksaan dengan
menjadikan kelulusan dalam matapelajaran bahasa Melayu sebagai syarat untuk
mendapatkan sijil. Bermula dengan penggubalan soalan hinggalah soalan itu
ditadbir, bahasa Melayu tetap memainkan peranannya sebagai bahasa peperiksaan
utama. Begitu juga bahasa Melayu menjadi syarat wajib untuk pelajar lulus dalam
ujian lisan bahasa Melayu. Soalan – soalan yang disediakan bagi setiap
mata pelajaran juga menggunakan bahasa Melayu melainkan mata pelajaran – mata
pelajaran tertentu seperti bahasa Inggeris, Tamil, dan Cina.